Tuesday, February 23, 2010

Walimah, Undangan dan Hukumnya...

Awwalan, aasif jiddan kerna agak sudah lama tidak mengupdate. Hal ini demikian disebabkan kesibukan diri mahupun keluarga dalam menguruskan walimah. Sebut sahaja pasal walimah teringat akan jemputan/ undangan dan pelbagai lagi istilah yang membawa erti yang sama. kadang-kadang terfikir perkara ini remeh, simple, tetapi terdapat perkara yang lebih penting. Mari kita sama-sama renungkan...  walaupun sekadar secebis ilmu...

SOALAN: Dalam kehidupan bermasyarakat, kita selalu mendapat jemputan kenduri kahwin. Kadang-kadang dalam sehari, dua atau tiga jemputan diterima terutama pada musim cuti sekolah. Apakah hukum menghadiri kenduri kahwin?

JAWAPAN: Dalam ajaran Islam, menghadiri majlis kenduri perkahwinan, jika dijemput, adalah satu kewajipan. Berdasarkan hadis Rasulullah, kalangan ulama menghuraikan dengan panjang lebar mengenai jenis kenduri dan hukum menghadirinya sama ada wajib, makruh, haram atau harus.

Pada umumnya, kenduri terbahagi kepada dua jenis, iaitu kenduri kahwin dan bukan kenduri kahwin seperti kenduri atau jamuan kesyukuran atau jamuan hari raya.

Menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bermaksud:

"Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya.​"​

Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."

Berdasarkan hadis sahih itu, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya wajib.

Bagaimanapun, kalangan ulama berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu.

Pertama: Yang menjemput atau mengadakan kenduri perkahwinan itu orang Islam.

Kedua: Orang yang dijemput adalah me-nyeluruh tanpa mengira bulu atau kedudukan, yakni tidak membeza-​bezakan yang kaya dan miskin.

Ketiga: Jemputan ke majlis perkahwinan itu dibuat secara khusus kepada setiap orang bukan secara umum, sama ada dengan cara menemuinya, melalui kad jemputan atau melantik wakil untuk menjemputnya. Sekiranya jemputan dibuat secara umum seperti berkata atau membuat iklan menjemput penduduk sesuatu tempat itu ke majlis itu, maka tidak wajib menghadiri jemputan berkenaan.

Keempat: Pada lahirnya segala perbelanjaan untuk mengadakan majlis itu daripada wang yang halal.

Kelima: Tidak terdapat di majlis itu orang yang menyakiti orang yang dijemput.

Keenam: Tidak ada di majlis itu sesuatu yang mungkar seperti arak atau majlis tari menari yang haram.

Ketujuh: Tidak ada jemputan yang lebih awal daripada itu.

Kelapan: Tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya hadir.

Kesimpulannya, hukumnya wajib atas setiap orang yang mendapat jemputan ke majlis kenduri perkahwinan untuk menghadirinya jika tidak terdapat satu daripada perkara yang bercanggah dan bertentangan dengan syarat-syarat yang disebutkan.

Dengan menghadiri jemputan itu, kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta dapat menambah serta memupuk kemesraan, kerjasama, bantu membantu dan mengukuhkan perpaduan sesama kita.

Kalau dalam sehari ada dua tiga jemputan, seboleh-​bolehnya hendaklah menghadiri jemputan itu. Kalau tidak, hendaklah hadir ke majlis jemputan yang lebih awal diterima.

Saturday, January 23, 2010

MABUK CINTA HALAL

Bismillah...
Pertamanya, tajuk post kali ini bukanlah membawa kepada istinbat hukum fiqh yakni mabuk cinta itu halal, namun ingin ditegaskan disini bahawa post ini lebih membawa erti mabuk akan cinta yang halal lagi sejati! kisah ini dipetik daripada bulletin yang dipostkan. Sekian...


enjoy the post. special for our heart! 
|Sekadar Hiasan|

*bila mabuk*




Cinta kami bukan lah cinta yang biasa-biasa, bukan juga luar biasa. Cinta ini baru sahaja berputik, lantas tumbuh subur selepas sah nya lafaz ijab kabul. Ia bersemi selepas kami saling menyerah kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan suami, selepas saya memberikan sepenuh cinta dan jiwa saya kepada suami setelah cinta saya pada Allah dan Rasul.


Bukan Cinta Biasa

Semasa tempoh bertunang, teman-teman kerap bertanya tentang hubungan cinta kami, saya biasanya akan tersenyum sahaja. Sukarnya memberi jawapan kerana kami tidak pernah ‘bercinta’ sebelumnya. Hubungan kami cuma diikat janji setia untuk saling menunggu sehingga tiba masa selayaknya mengikat perkahwinan. Tiada madah cinta menghiasi bicara, tiada SMS atau panggilan telefon melainkan benar-benar daruri, tidak pernah keluar berduaan walaupun sekali apatah lagi duduk berdekatan atau berpimpinan tangan.

Saya kerap dilontarkan pelbagai persoalan dan komen oleh teman-teman, antaranya:





“Did you two meet via matchmaking?”

“Pelik nya, dah bertunang pun tak dating….”

“Kenapa tak call tunang awak?”

Soalan-soalan dan komen tersebut membuat saya lucu, kadang-kadang sedikit segan dan serba salah. Selalunya saya menjawab soalan teman-teman dengan gurauan yang benar, “Saya nak bercinta selepas kahwin.” Teman-teman terdiam dan tersenyum menyambut jawapan saya. Mungkin ada yang menganggap saya kolot atau pelik, saya tidak peduli.

Pada mereka yang lebih mudah memahami, saya terangkan sebab-sebab saya tidak ‘bercinta’ sebelum berkahwin:

• Saya telah melihat banyak insan yang bercinta, dan saya menginsafi bahawa betapa besar biusan cinta yang mampu mengubah madu menjadi racun begitu juga sebaliknya. Yang lebih parah lagi jika cinta menjadi sebab manusia membelakangkan agama. Saya kira saya tidak kuat untuk menghadapi cabaran cinta ini, maka saya mengundur diri dari bercinta pada yang tidak halal.

• Saya sangat-sangat mendambakan cinta dan redha Allah dalam kehidupan saya yang tidak akan dapat saya raih jika saya tidak menjaga keberkatan dalam kehidupan saya. Mana mungkin rumahtangga yang saya harapkan menjadi syurga dunia dan akhirat saya dilimpahi keberkatan jika pada awalnya saya melanggar syariat-Nya.

• Saya malu pada diri jika saya gagal menjadi contoh yang baik kepada adik-adik yang saya didik dalam usrah. Saya berharap saya dapat mewujudkan contoh (biarpun bukan yang terbaik) untuk adik-adik dengan menjaga perhubungan kami sebaiknya.


Mabuk Cinta Halal

Saya tersenyum-​​senyum sendiri, membalas SMS suami selepas kami selamat diijabkabulkan.​​ Meskipun sedikit malu pada mulanya, saya yakin melakukannya kerana Allah, penuh rasa bahagia, kerana saya telah pun halal baginya.

Sahabat saya, Shazni yang maklum tentang ‘kisah cinta’ ini mengusik saya yang dilamun cinta, “Huish..mabuk cinta halal…” Saya sangat tertarik dengan istilah baru ciptaan Shazni, tepat menggambarkan cinta kami tika ini.

Benar, manis sungguh bercinta selepas nikah. Kemanisan mencintai yang halal dan diredhai. Bercinta tanpa rasa takut, bimbang atau was-was kerana ianya adalah yang haq. Bercinta dengan penuh yakin bahawa itulah cinta yang diperintahkan Allah untuk dijagai dan disuburkan. Manisnya cinta ini lebih terasa kerana mujahadah menjauhi larangan Allah sebelum ijabkabul akhirnya diakhiri dengan ikatan yang suci lagi indah. Kemanisan ini mana mungkin bisa dirasai jika sebelumnya telah terbiasa melanggari hukum-Nya.

Benarlah firman Allah:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum: Ayat 21)

Mabuk cinta ini membahagiakan, namun saya hadapi penuh keinsafan bahawa manusia mentadbir sedangkan Allah lah yang mentaqdir. Kita merancang dan Allah jua sebaik-baik perancang. Pada usaha dan mujahadah sedikit ini dalam mencari cinta yang halal, saya menyerahkan sepenuhnya natijah pada Allah, penentu segala. Saya ingin cinta Allah tertinggi di hati kerana hanya dengan cinta-Nya dapat saya mencintai suami dengan cinta yang suci dan dengan cinta-Nya saja segala ujian akan dapat dihadapi. Semoga apa pun yang Allah tetapkan di hujungnya, adalah kebaikan semata buat saya dan suami.


Doa Seorang Pencinta





Tuhan, hamba tunduk merendah pada-Mu penuh yakin bahawa bahagia itu hanya datang dengan mencintai-Mu, maka jadikanlah saya dan suami sebagai orang yang mencintai-Mu.

Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman, dan jadikanlah orang yang beriman menyintaiku. Jadikanlah cinta-Mu dan cinta Rasul-Mu sebagai cinta yang menunjangi cinta kami dari awal hingga akhir. Jadikanlah cinta kami ini cinta yang Kau redhai ya Allah. Jadikanlah cinta ini cinta yang menambahkan cinta kami pada-Mu dan Rasul-Mu. Jadikanlah cinta ini sebagai penguat semangat kami untuk berjuang di jalan-Mu. Jadikanlah cinta kami kekal hingga ke syurga-Mu. Amin...


Anda Mungkin Meminat | You May Interest

Related Posts with Thumbnails