Saturday, July 10, 2010

Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan -(copied)


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
KEFAHAMAN dan ilmu yang ada di dalam diri seseorang dan menjadi pegangannya adalah faktor utama yang menentukan keperibadiannya dan kehidupannya. Jika kotak minda dan lubuk hatinya dipenuhi oleh kefahaman yang benar lagi mulia maka orang tersebut akan muncul sebagai peribadi yang besar dan mulia. Sebaliknya, jika kefahaman yang salah, sempit lagi menyeleweng yang bersarang dalam dirinya, maka sukarlah ia muncul sebagai individu yang membawa kebaikan dan kesejahteraan.
Begitu jugalah keadaannya dengan kefahaman agama. Bukan semua kefahaman agama yang tersebar dan dipegang itu betul dan benar. Itulah yang mendorong para ulama yang mewarisi tugas para nabi untuk gigih memperbetulkan kefahaman agama umat Islam melalui lisan dan tulisan mereka.
Alhamdulillah, dengan kurniaan Allah SWT, di zaman yang mutakhir ini, telah muncul suatu karya yang hebat hasil tulisan seorang tokoh ulama yang hebat berkenaan dengan tema ini yang dapat kita jadikan rujukan dan panduan.
Karya yang dimaksudkan adalah kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan), tulisan al-Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki. Isi kitab inilah yang akan kami olahkan sebagai pengisian ruang ini dalam minggu-minggu akan datang.
Buku ini merupakan antara karya beliau yang paling dikenali dan tersebar luas. Keistimewaan dan keutamaan buku ini terbukti dengan puluhan mukadimah perakuan dan pengiktirafan oleh para ulama dunia Islam yang diterima oleh buku ini.
Di antara tokoh ulama yang telah menulis mukadimah memuji buku ini termasuklah; Syeikh Hasanain Makhluf, mantan Mufti Mesir, Syeikh Prof. Dr. Muhammad al-Toyyib al-Najjar, al-Allamah al-Muhaddith Syeikh Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari dan Syeikhal-Allamah al-Mu'arrikh Syeikh Muhammad al-Khazraji. Apa yang menarik, para ulama ini mencakupi pelbagai pelosok dunia Islam termasuklah benua India-Pakistan dan Asia.
Ini tidaklah menghairankan jika mengambil kira bahawa pengarangnya memang seorang yang telah luas perjalanannya ke seluruh dunia Islam baik ketika menuntut ilmu mahupun ketika berdakwah dan mengajar.
Rata-ratanya, kitab ini dianggap istimewa dan mustahak walaupun ia tidaklah terlalu tebal kerana ia telah berjaya memperbetulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pelbagai isu dalaman agama yang agak rumit. Sebahagian isu ini sering ditimbulkan oleh kalangan umat Islam sendiri di tengah masyarakat sehingga boleh menimbulkan perselisihan dan merosakkan keharmonian sesama Islam.
Oleh kerana ia adalah isu-isu agama yang khusus dan ilmiah, masyarakat awam yang sering diheret untuk membahaskannya, mudah tersilap langkah dalam menanggapinya. Mereka mungkin mudah terikut dengan hujah dan pandangan sebelah pihak sahaja kerana tidak mampu untuk menimbangkan secara lebih mendalam dan meluas. Justeru, buku ini begitu penting untuk memenuhi ruang kosong ini.
Dengan meneliti isi buku ini pembacanya akan mampu membentuk kefahaman yang lebih tepat dan saksama terhadap pelbagai isu agama yang diperselisihkan di kalangan ulama ataupun umat.
Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu; Perbahasan isu-isu akidah, Nabi dan pelbagai isu agama rencam. Dalam Bab Akidah, antara isu dibahaskan adalah isu takfir, bidaah, tawassul dan syafaat. Bab Nabawiyyah atau ehwal berkaitan Nabi SAW pula mencakupi isu-isu keistimewaan Nabi dan bertabarruk (mengambil berkat) serta persoalan berkaitannya. Bab ketiga mengandungi pelbagai perbahasan tanpa tema khusus termasuklah isu kehidupan alam barzakh dan menziarahi kubur dan kesan tinggalan serta sambutan hari-hari kebesaran Islam. Sedar ataupun tidak, isu-isu ini sering timbul dan ditimbulkan dari masa ke semasa.
Marilah kita bersama di minggu seterusnya, berkongsi warisan para ulama pewaris Nabi SAW dengan kita menelaah beberapa isi perbahasan dalam kitab ini. Semoga dengannya dapatlah kita memperbetulkan beberapa kefahaman agama kita yang memang wajib diperbetulkan.

No comments:

Post a Comment



Anda Mungkin Meminat | You May Interest

Related Posts with Thumbnails