Cinta adalah sesuatu yang tidak dapat didefinisikan dengan kata-kata. Kita akan menyedari cinta bila kita merasainya sendiri. Rasa tenang, indah, sayu tatkala diberi peluang menikmati gelombang cinta.
Auranya sangat luar biasa.
Bayangkan manusia kuat, akan tunduk bila terlalu cinta. Manusia gagah, akan longlai bila diserang angin cinta. Bahkan manusia lemah, akan jadi kuat keutuhan hatinya menindih rasa sukar, gundah, sedih yang bersarang di onar hati bila disuntik bius cinta.
Bila dua hati bertaut, dia juga memiliki rasa yang sama dengan apa yang kita rasakan. Kita ingin dia melihat kita tersenyum, kita juga ingin melihatnya bahagia. Ini agar dia merasa kita bahagia melihatnya bahagia, walaupun sebenarnya kita tahu ia turut terluka.
Hati mudah tersentuh.
Cinta adalah suatu hal yang kebanyakan manusia akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Cinta adalah sesuatu yang disenangi oleh jiwa. Mendapatkan cinta kasih dari makhluk adalah menyenangkan, apalagi jika cinta itu datang dari Sang Pencipta.
Rindu dan Cinta Ilahi adalah mahar manusia di dunia.
Meraih cinta-Nya merintis kebahagian di ketandusan hati memilukan. Manusia akan kenal cinta ini bila tersuluh hikmah tersirat di sebalik rebah ketika disedarkan melalui denai memeritkan. Melangkah adalah pasti, kedengusan di kala lara tidak bererti lagi.
Merindui kekasih Allah sudah kemestian. Meraih cinta baginda di lembah Bani Hasyim adalah tanda bakal meraih cinta Ilahi.
Pengubat jiwa sepi.
CINTA ILAHI
Insan dikasihi...
Mencari cinta Ilahi, bukan bermaksud menolak perasaan fitrah manusia saling cinta mencintai, sedangkan Allah sendiri menyuruh kita hidup berpasangan selepas terpatri ikatan syari-‘at. Cinta Ilahi, dalam erti kata ingin mendapatkan keredhaan Allah Taala, sedaya upaya kita cuba mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang boleh mengundang kemurkaan-Nya.
Bercinta sebelum bernikah, mungkin tidak akan berlaku tanpa terlebih dahulu membenih cinta palsu, dan hukum mendekati cinta palsu ini telah jelas dalam Mutiara Kalam Ilahi.
وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”
Benih cinta palsu tadi akan menumbuhkan perasaan rindu merindui di tahap maksima, mematikan deria rasa bimbang, takut, dan dosa. Bagi seorang yang normal, tidak mungkin dia mampu mengelak menikmati cinta palsu hingga mendenggus hati apabila bercinta dengan seseorang yang masih belum menjadi pasangannya yang sah.
Oleh itu, biarpun kita kuat untuk cuba membataskan perhubungan percintaan, ia tetap menarik hati menghampiri zina (cinta palsu) andai kita telah memulakan langkah pertama untuk bercinta.
Percintaan yang halal ialah percintaan selepas pernikahan.
Tiada yang lebih indah daripada mendapat keredhaan Ilahi. Seindah manapun sesuatu itu dalam pandangan manusia, selagi ia tidak diredhai-Nya, maka ia langsung tidak berguna.
Rabi-ah Adawiyah adalah insan yang tersendiri, dan sering menyendiri demi bersama Kekasih yang sentiasa hadir dalam setiap tangisan dan hembusan nafasnya. Butir-butir kata Rabiah adalah mutiara hikmah dan zikir untuk dirinya sendiri, tetapi manusia membacanya sebagai puisi dan cereka cinta.
Cinta Rabi-ah adalah untuk dirinya sendiri, dengan caranya sendiri. Rabi-ah membuang dunia dari dirinya dahulu, kemudian ia menemukan cinta Ilahi. Manusia kini dibuang oleh dunia dan manusia dahulu, kemudian baru mengemis cinta Ilahi.
Saidina Ali ketika ditanya bagaimana ia membahagikan cintanya antara Allah, Rasul-Nya, isterinya Fatimah dan anak-anaknya, menjawab; “Aku tidak membahagi-bahagikan cintaku, ia adalah satu dan sama; aku mencintai Allah, dan aku mencintai isteriku, anak-anakku kerana Allah”
Antara cinta Rabi-ah dan cinta Ali, kedua-duanya mempunyai keagungan yang tersendiri, mempunyai kekuatan mengukuhkan lagi pendirian cinta mereka kepada Kekasih utama.
Carilah cinta Ilahi...
HISAB DIRI
Cinta-Nya adalah ikhlas dan sabar.
Tidak akan diketahui kecintaan seseorang sehingga tiba saat berpisah. Tidak diketahui kesabaran seseorang sehingga tiba masanya dia patut marah.
Banyak jiwa bertopengkan senyuman. Pandangan sekilas menghasilkan ma’-rifah permukaan. Percaya pada gerak hati, hadkan lidah dalam pergaulan, hatikan tenang. Andai ditakdirkan sahabat bertukar menjadi kawan, terimalah kurnian itu sebagai pengalaman. Tiada siapa sangka Saidina Umar akan menjadi singa Allah, dan tiada siapa sangka Abu Talib hembusan terakhir di dalam kepiluan.
Usaha ke arah kebaikan bukan sahaja bergantung pada ingin dan tahu, malah pada pengalaman yang memandu. Pengetahuan isi luaran, bermain bersama persekitaran, membedah warna-warni isi alam, jatuh bangun bersama semangat ingin membaiki kelemahan. Inilah pengalaman yang berfungsi.
Begitulah kita, walaupun kita tahu yang menguji itu Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang, namun sedikit sebayak hati kita memberontak jua. Kita lemah, Allah Maha tahu tentang itu. Tetapi yakinlah walau sakitnya terlalu, nanti kemanisannya juga akan berganda. Terimalah kesusahan yang sedikit demi kebahagiaan yang lebih baik dan abadi.
No comments:
Post a Comment