critical minds
SEORANG pemandu bas di Jerman mengugut untuk melempar keluar seorang wanita dari basnya kerana pakaian wanita tersebut terlalu seksi! Pemandu itu berang kerana setiap kali beliau memandang cermin, keseksian wanita tersebut ‘memesongkan perhatiannya’ sehingga menghilangkan tumpuannya kepada jalan raya (Berita Harian, 18 Julai 2007).
Semuanya mengenai aurat. Betapa indahnya Islam kerana menetapkan hukum bahawa wanita wajib menutup auratnya, bukan sahaja mengikuti syariat tersebut menaikkan darjat wanita di sisi Allah s.w.t malah mampu melindungi wanita daripada kemungkinan maut dicampak dari sebuah bas seperti nasib wanita Jerman itu!
mulianya wanita itu apabila ditutup dijaga seperti permata
Itu di luar negara. Di Malaysia, ramai pula yang berbangga mendedahkan aurat hanya beralasankan hak individu dan tuntutan fesyen. Sehinggakan sudah menjadi kebanggaan dan kelaziman akan kata-kata seperti, “saya berpakaian sebegini (seksi dan tidak menutup aurat) adalah bagi mempamerkan kecantikan anugerah Tuhan kepada saya, rugi sekiranya kecantikan dan anugerah ini tidak ‘dikongsi’ bersama,” ataupun alasan seperti, “ini hak individu, tidak kisahlah sekiranya sesiapa pun yang ingin berpakaian seksi atau tidak, masing-masing punya hak. Tidak perlu menjaga tepi kain orang lain. Lagipun kubur lain-lain. Dalam zaman globalisasi ini kita harus berfikiran terbuka. Tidak seharusnya terlalu jumud atau kolot.”
Di luar, mereka bersungguh-sungguh menunjukkan minat untuk mempelajari dan memahami Islam, di sini mereka bersungguh-sungguh menunjukkan minat bukan sahaja untuk mempelajari dan memahami apa yang disebut sebagai modernisasi era globalisasi tetapi juga turut bersungguh-sungguh mengadaptasikannya dengan bangga.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur: 31)
...“Wanita yang berpakaian menutup aurat juga menjadi mangsa pencabulan dan rogol. Ini bermakna faktor pakaian atau aurat bukan pendorong perlakuan itu tetapi nafsu. Contoh lain, kanak-kanak juga dilaporkan menjadi mangsa kerakusan tersebut. Lihat sahaja di dalam media massa yang melaporkan kejadian-kejadian ini.
ummat kini...
Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaporkan indeks jenayah rogol dan sebagainya telah bertambah dengan lebih besar. Pada tahun 2004, jenayah rogol telah bertambah sebanyak 16.8 peratus kepada 1,718 kes daripada 1,471 kes pada tahun 2003 berbanding pertambahan penduduk yang hanya meningkat sebanyak 2.1 peratus. Pada tahun 2005, kes rogol telah meningkat kepada 1,895 kes, peningkatan sebanyak 10.3 peratus berbanding 2004 dan pada tahun lalu pula, jenayah rogol terus meningkat kepada 2,238 kes, pertambahan sebanyak 18.1 peratus. Jika dibandingkan, pertambahan penduduk hanya meningkat sebanyak 1.9 peratus sahaja.
Bagi kes pencabulan kehormatan pula, PDRM telah merekodkan 1,399 kes pada tahun 2003, meningkat 18.7 peratus kepada 1,661 pada tahun 2004, meningkat lagi pada tahun 2005 kepada 1,771 dan pada tahun lepas terus lagi meningkat kepada 2,023 kes iaitu pertambahan sebanyak 14.2 peratus....”
Tidak relevenkah Islam menetapkan batasan aurat?
Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, yang bermaksud:
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)
Hadis menyebut bahawa perempuan yang berpakaian tetapi telanjang (seksi) akan berkecenderungan kepada perbuatan maksiat dan cenderung juga membawa orang lain berbuat maksiat. Persoalan mengapa wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah pula menjadi mangsa berkait rapat dengan hadis ini. Wanita yang tidak menutup aurat dan seksi tersebut akan membangkitkan nafsu jahat kepada lelaki jahat. Nafsu jahat itu pula membuak-buak dan perlu dilampiaskan segera.
Pada masa itu, wanita yang tidak menutup aurat dan seksi berada di dalam kelompok awam yang ramai dan keadaan tidak memungkinkan nafsu jahat lelaki itu dilampiaskan. Maka, yang menjadi mangsa adalah wanita-wanita dan kanak-kanak yang tidak bernasib baik yang pada masa itu berada di dalam keadaan yang tidak memihak kepada mereka.
Al-Quran surah Al-’Araf, ayat 20 menjelaskan peristiwa ketika Adam dan Hawa berada di syurga: “Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan pada keduanya apa yang tertutup dari mereka, iaitu auratnya, dan syaitan berkata, “Tuhan kamu melarang kamu mendekati pohon ini, supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (di syurga).”
Selanjutnya dijelaskan dalam ayat 22 bahawa: “Setelah mereka merasakan (buah) pohon (terlarang) itu terlihatlah bagi keduanya aurat dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga…”
Jelas di sini bahawa fitrah asas yang terdapat di dalam diri manusia ialah ‘tertutupnya aurat’ namun akibat godaan syaitan, aurat manusia terbuka. Ayat di atas juga jelas bahawa idea ‘membuka aurat’ adalah idea syaitan dan kerananya ‘tanda-tanda kehadiran syaitan` adalah ‘keterbukaan aurat’. Sebuah riwayat yang dikemukakan oleh Al Biqa’i dalam bukunya Shubhat Waraqah menyatakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. belum memperoleh keyakinan tentang apa yang dialaminya di Gua Hira, adakah dari malaikat atau dari syaitan, baginda menyampaikan hal tersebut kepada isterinya Khadijah.
Khadijah berkata, “Jika engkau melihatnya lagi, beritahulah aku.” Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w melihat (malaikat) yang dilihatnya di Gua Hira, Khadijah membuka pakaiannya sambil bertanya, “Sekarang apakah engkau masih melihatnya?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Tidak, dia sudah pergi.” Khadijah dengan penuh keyakinan berkata, “Yakinlah bahawa yang datang itu bukan syaitan, (kerana hanya syaitan yang gemar melihat aurat).” (Wawasan al-Quran, Dr. M. Quraish Shihab, internet)
Berdasarkan dalil al-Quran dan al-Hadis, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan biasa. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati´e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal syaitan mensasarkan dosa ´buka aurat´ ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam al-Quran daripada firman Allah yang bermaksud:
“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya ...”( al-A´raf : 20) (Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, www.zaharuddin.net)
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan jagalah diri kamu daripada siksaan yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim diantara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kesemuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah s.w.t maha berat azab siksaannya.” (al-Anfal: 25)
larilah kamu daripada maksiat umpama kamu menjauhi api yang memarak membakar
No comments:
Post a Comment