Saturday, July 12, 2008

Islam Sekerat - Sekerat -DARI DARK JUSTICE(copy)

Assalamualaikum warahmatullah dan Salam sejahtera

"Dia sudah kurangkan minum arak, dulu siang malam pagi petang, tapi sekarang meminumnya hanya untuk sesekali menghilangkan ketagihan!", kata si A

"Rasanya saya ada nampak dia pergi masjid untuk sembahyang Jumaat. Ok la tu, at least dia sudah mula sembahyang", ujar si B tentang rakannya.





HUKUM VS DAKWAH

Perkembangan separuh-separuh begitu, akan dibalas bergantung kepada persepsi seseorang. Jika kita melihatnya dari kacamata hukum, maka minum arak sesekali tiada bezanya dengan minum arak sentiasa. Dia tetap seorang peminum arak.



Orang yang hanya bersembahyang Jumaat dengan meninggalkan sembahyang fardhu yang lima secara harian itu, tetap dilihat sebagai mengingkari kewajipan besar yang disyariatkan oleh Allah SWT

Tetapi bagi pendakwah yang bekerja merawat manusia, ia mungkin akan dilihat sebagai suatu perkembangan yang positif. Meninggalkan ketagihan arak secara harian dan mula mampu memilih waktu tertentu sahaja untuk meminumnya, adalah suatu peningkatan.



Self control diri peminum itu mungkin sedang melalui proses membina kekuatan

Begitu juga dengan orang yang tidak pernah bersolat, mula 'memberanikan' diri untuk menghadiri solat Jumaat, ia merupakan proses menjinakkan dirinya dengan sesuatu yang mungkin begitu asing bagi dirinya sebelum ini

"Jiwa Dai'e Otak Faqih" artikel yang pernah saya post disini tidak lama dahulu, sedikit sebanyak menjelaskan persepsi saya tentang hal ini. Seorang Muslim yang berjiwa dai'e, menghargai setiap perkembangan seseorang biar pun masih jauh dari mencapai kesempurnaan.



Apa yang dilihat, bukan berapa banyak yang dia belum buat, tetapi berapa banyak yang dia sudah mula laksanakan

Tetapi



IDOLA

Saya khuatir apabila mad'u yang berubah-ubah secara beransur ini, adalah seorang public figure yang menjadi idola dan ikutan ramai

Golongan yang saya maksudkan ini adalah para ARTIS

Mungkin buruk benar jika saya katakan bahawa, saya lebih suka jika artis-artis ini tidak bertudung, tidak bercakap soal agama dan langsung tiada kelihatan kepedulian mereka terhadap agama. Lantas apabila ada yang berhasrat untuk berhijrah, mereka berhijrah sepenuhnya.



Orang tidak merujuk kepada artis untuk mencari contoh beragama

Kalau ditanya kepada emak saya, tentu ingatan yang tidak mungkin beliau lupakan ialah kehilangan seorang selebriti pembaca berita terkenal di RTM iaitu Wan Chik Daud.



Hijrahnya memakai tudung telah 'mengundurkan' dirinya dari muncul di kaca televisyen, sedangkan beliau amat dekat di hati masyarakat kerana suaranya yang beraura ketika membaca berita dan mengacarakan majlis, hilang secara tiba-tiba (sehingga kini RTM menjadi satu-satunya stesyen televisyen negara yang masih tidak membenarkan pengacara dan pembaca beritanya memakai tudung)

Tetapi kebelakangan ini, hijrah yang berlaku mula sekerat-sekerat.



Khususnya dalam konteks pemakaian tudung

TUDUNG SILAM

Tidak dapat saya nafikan, bahawa jiwa ini lebih sejahtera ketika orang perempuan kita tidak pandai menggayakan fesyen dengan tudung. Bermula dengan tidak bertudung, kemudian bertudung bawal dan kemudian bertudung labuh serta bulat, dan mungkin sebahagian memilih untuk berpurdah. Terpulang.



Tudung di kala itu adalah suatu perjuangan untuk seorang wanita Muslimah membina jati dirinya

Memakai tudung ialah suatu proses besar yang memerlukan pengorbanan

Namun tudung mengalami evolusi, seiring dengan nasyid dan 'perkara-perkara Islam yang lain' apabila kreativiti ditumpahkan kepadanya supaya tudung jangan lagi dikaitkan dengan imej bosan, tidak menonjol dan distinguished from others. Bertudung tetapi masih boleh kelihatan 'cantik'.



Lantas pelbagai cara pemakaian tudung berlaku, pelbagai fesyen diketengahkan, seiring pula dengan busana Muslim yang terkini, diangkat menjadi industri antarabangsa





Tetapi di manakah kerisauan saya?

TUDUNG CACAT

Konflik berlaku apabila kita melihat kebelakangan ini, penggayaan fesyen dilabelkan sebagai Islam sedangkan ia amat jauh dari menepati hukum asas Islam.



Tudung dipakai sekerat dengan membiarkan bahagian depan terkeluar… ia dikategorikan sebagai Islamik dan sesuai untuk menonjolkan imej seorang Hajjah

Dari tudung yang cukup untuk melindungi leher dan dada, artis-artis yang telah berhijrah ini mula mengurangkan tudungnya kepada sekadar menutup rambut tetapi dibiarkan telinga, leher dan dada terdedah

Apabila pakaian-pakaian seperti ini semakin berleluasa, ia menghantar satu mesej yang salah kepada masyarakat. Pemakaian seperti ini dianggap sebagai telah menyelesaikan tuntutan Islam, sedangkan ia masih jauh lagi dari ukuran Islam terhadap apa yang dinamakan sebagai hijab.



Lebih khuatir lagi, apabila nama-nama besar dalam industri fesyen memberikan sentuhan mereka untuk mencantikkan lagi 'pakaian cacat' ini, dan ia diperagakan atas nama Busana Islam!

Terpulang, jika tudung mahu dihias cantik dengan labuci dan renda. Terpulang jika jubah mahu dibuat dari material hebat seperti French Lace dan sebagainya. Tetapi tudung hanya menjadi tudung apabila ia berjaya melindungi rambut, telinga, leher dan dada seorang wanita yang mahu mentaati Allah di dalam pakaiannya.



Jubah hanya menjadi jubah apabila ia berjaya melindungi rupa tubuh seorang perempuan kecuali muka dan tapak tangannya

Sebagai manusia, saya tetap menghargai perubahan beransur yang berlaku dari seorang yang berpakaian seksi kepada berpakaian yang lebih sopan, serta sehelai kain yang diletakkan di atas sebahagian kepala. Dakwah boleh mendefinisikannya sebagai 'suatu perubahan'.



Namun untuk difahamkan bahawa pakaian sedemikian adalah fesyen Islam, busana Islam dan sudah memenuhi tuntutan Islam ia adalah suatu pencemaran kepada kefahaman Islam

Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.



[Al-Baqarah 2: 208]

Saya tidak akan memadamkan catatan pengorbanan Muslimah yang berusaha untuk menutup aurat mereka dengan sempurna hingga diludah di kampus-kampus. Saya tidak akan pencilkan catatan pengorbanan sebahagian artis yang meninggalkan dunia glamour yang melumpuri kehidupan mereka demi untuk menghayati ajaran Islam yang betul.



Segala perit pahit mereka tidak harus terpadam oleh fesyen baina-baina (sekerat-sekerat) yang semakin berleluasa sekarang ini

INPUT PROSES OUTPUT

Juga tidak harus dilupa, tudung itu adalah proses. Sama juga seperti solat dan puasa. Syariat mengkehendaki seorang Muslim dan Muslimah berpakaian dengan pakaian tertentu, melakukan ibadah tertentu, tujuannya adalah untuk memproses hati dan tingkah laku. Memakai tudung bukan tanda seorang itu sudah baik, sebaliknya untuk seseorang memperbaiki diri dia harus memakai tudung dengan sedar (full of consciousness).



Bukan dia baik dengan alasan dia bertudung, sebaliknya kalau hendak jadi baik, kenalah bertudung

Orang yang berpakaian kerana Allah, hanya ada Satu Tuhan yang mahu digembirakannya.



Orang yang berpakaian untuk menyedapkan mata manusia memandang, akan menjadi hamba kepada tuhan-tuhan kecil yang mahu digembirakannya

Apakah nawaitu kepada perubahan itu?

Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah akibat kejahilan saya sendiri.



Wabillahitaufiq walhidayah,Wassalamualaikum warahmatullah

-Amir DarkJustice AMK P.

No comments:

Post a Comment



Anda Mungkin Meminat | You May Interest

Related Posts with Thumbnails